Selamat Datang

Jangan kita letih melakukan kebaikan kerana letih akan hilang sedang kabaikan dicatat berterusan, Ingat, jangan kita seronok melakukan dosa dan maksiat kerana seronok akan hilang, sedang dosa dicatat berterusan. Saidina Ali Karramallahu wajhu

Rabu, 8 Oktober 2014

SEJARAH PERKEMBANGAN AJARAN SESAT DI KELANTAN


Semenjak dulu lagi umat Islam di negeri Kelantan sedang dilanda ajaran sesat yang kebanyakannya dibawa masuk dari luar Kelantan. Sekitar tahun 50-an, 60-an dan 70-anmuncul ajaran yang digelar ilmu isiajaran Tok Janggut, amalan subud, ajaran Haji Ibrahim Tok Gedong dari selatan Thailand, Tarikat Naksyabandiah Kadirun Yahya, ajaran Hassan Anak Rimau dan lain-lain lagi termasuk ajaran Tajalli yang dibawa oleh Ahmad Laksamana dan ajaran Mat Nor Kua Supa.
Kelahiran ajaran tersebut secara tak langsung menjadi kayu pengukur yang dapat menentukan tahap kelemahan seseorang muslim sejauh mana kemampuan mereka menilai antara ajaran yang hak dan batil.Apa yang nyata, segelintir masyarakat tanpa mengenal peringkat telah terkeliru lalu menerima ajaran dan pegangan ajaran sesat dengan menganggap sebagai sebahagian dari ajaran Islam kerana jahil tentang hakikat sebenar ajaran Islam.
Sebagai contoh mereka terperangkap dalam gerakan ajaran sesat iaitu dapat menerimakonsep pengajaran yang bercanggah dengan syara’ seperti:-
1. Sembahyang hanya memadai dengan niat sahaja tanpa perlu dikerjakan seperti yang disuruh oleh syara’, sehingga ianya boleh dilakukan sambil berjalan, sambil makan, sambil bekerja dan sebagainya.
2. Manusia keseluruhannya dari Allah SWT dan akan kembali menjadi Allah seolah-olah mereka adalah satu juzuk dari zat Allah, bukannya makhluk ciptaan Allah. Pegangan seperti ini sama dengan ajaran Buddha yang mendakwa kononnya manusia yang suci dan tidak berdosa akan kembali bersebati dalam zat Tuhannya.
3. Mengerjakan haji di Makkah sunat sahaja bukan wajib, sebagaimana dakwaan Hassan Anak Rimau. Dakwaan itu terang-terangan bertentangan dengan rukun Islam yang ke-lima yang tidak pernah dipertikaikan oleh seluruh umat Islam di dunia ini, kecuali mereka yang menyeleweng dan terpengaruh dengan ajaran sesat.
Percanggahan-percanggahan yang amat keterlaluan dengan syariat Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW sudah jelas membuktikan bahawa ajaran tersebut sengaja direka oleh musuh-musuh Islam dengan tujuan untuk memesongkan ajaran Islam yang sebenarnya. Itulah sebab pembawa ajaran sesat tidak mempunyai kitab-kitab rujukan yang tertentu yang diakui sebagai sandaran kepada butir-butir pengajarannya. Ada juga yang mendakwa bahawa ajarannya berlandaskan kitab-kitab Tasauf karangan ulama-ulama Tasauf yang terkenal, tetapi akibat dari kelemahan dirinya memahami isi kandungan kitab-kitab tersebut menyebabkan berlakulah penyelewengan. Hal itu banyak terjadi pada mereka yang hendak cuba memahami ilmu tersebut padahal mereka tidak mempunyai asas pengetahuan yang cukup untuk mencapai ilmu yang tinggi dan rumit itu, apa lagi jika usaha tersebut dilakukan secara sendiri sahaja tanpa bimbingan dari guru yang mursyid.
Ciri-ciri ajaran salah dan mengenal pasti kesalahan-kesalahan.
Agama Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah SWT kepada nabi Muhammad SAW, yang memberikan kepada manusia bimbingan, pegangan, amalan-amalan serta hukum hakam, yang dinyatakan di dalam Hadis Jibril yang ditentukan ruang lingkupnya sebagaiImanIslamdan Ihsan, yang kemudiannya dihuraikan dengan terperinci segala kepenuhan dan kedalaman dengan segalanya oleh para ‘ulama, sebagai merangkumi segi-segi ‘aqidah, syariah dan ajaran serta amalan rohaniah yang dipanggil tasauf. Ia kemudiannya berkembang menjadi ilmu-ilmu asasi Islam, yang berdasarkan kepada al-Quran, al-Sunnah serta menimbulkan penafsiran-penafsirannya di kalangan ahli-sunnah pelbagai segi fahaman dan amalan serta nilai-nilai Islam yang meliputi itu.
 Maka takdirnya oleh kerana beberapa faktor sejarah dan manusiawi, timbullah penyelewengan-penyelewengan yang melibatkan bidang-bidang ImanIslam danIhsantadi dengan dakwaan ilmu kebatinan atau kerohanian yang tulen, padahal sebenarnya ia adalah sesat serta menyesatkan.
Aliran-aliran yang sesat dan menyesatkan itu, yang terkeluar daripada ajaran Islam sebenar yang terdapat di seluruh Nusantara ini, berasal daripada aliran-aliran dari kawasan-kawasan pusat sejarah umat ini sendiri.
Di Malaysia juga timbul ajaran-ajaran sesat itu termasuk di negeri Kelantan.
Antara aliran-aliran atau ajaran-ajaran yang sesat yang akan dibicarakan di sini ialah aliran Hassan Anak Rimau, aliran Tajalli Haji Ahmad Laksamana, dan ajaran Muhammad Nor Kua Supa.


Tiada ulasan: