Selamat Datang

Jangan kita letih melakukan kebaikan kerana letih akan hilang sedang kabaikan dicatat berterusan, Ingat, jangan kita seronok melakukan dosa dan maksiat kerana seronok akan hilang, sedang dosa dicatat berterusan. Saidina Ali Karramallahu wajhu

Rabu, 8 Oktober 2014

Ajaran sesat di Malaysia

Akhukum, AAM, Hari Asyura 1435H
Ajaran sesat muncul dalam masyarakat Islam hasil daripada perancangan rapi yang ditaja oleh musuh-musuh Islam dengan tujuan untuk merosakkan agama Islam dan mewujudkan perpecahan di kalangan umat Islam menerusi perbezaan dan percanggahan fahaman.
Di negara kita, ajaran sesat memang telah dikesan sejak dahulu lagi dan pengaruhnya meresap masuk ke dalam masyarakat Islam menerusi gerakan batiniah atau yang bertopeng di sebalik nama tarikat-tarikat Sufiah yang dikenali di kalangan masyarakat negara ini. Ajaran tersebut lazimnya bergerak secara berkumpulan dan diketuai oleh guru atau pembawa ajaran itu yang dianggap mursyid serta kononnya mempunyai martabat yang tinggi pada pandangan pengikut-pengikutnya. Guru itu sendiri adakalanya menggunakan ilmu batiniah untuk meyakinkan pengikut-pengikutnya seperti menunjuk kekebalannya, mengeluarkan air dari jari, boleh merawat penyakit ganjil dan sebagainya.
Ada juga yang mendakwa boleh menghilangkan diri (ghaib) dari pandangan orang ramai, pergi ke suatu tempat dalam sekelip mata, mikraj ke langit beberapa kali, pergi bertemu Rasulullah SAW untuk menerima ajarannya, tidak pernah tidur semenjak sekian lama, tahu niat hati orang lain terutama pengikut-pengikutnya dan lain-lain lagi. Tujuannya berbuat demikian adalah untuk menarik kepercayaan orang ramai supaya menjadi pengikutnya.
Di Kelantan, kebanyakan ajaran sesat diseludup masuk dari luar seperti negara jiran. Ajaran tersebut bergerak secara sulit dengan mempengaruhi mereka yang jahil tentang ilmu agama. Selalunya taktik yang digunakan untuk mempengaruhi pengikut ialah dengan mengemukakan pertanyaan-pertanyaan untuk memerangkap kemudian membiarkan orang itu dalam keadaan tertanya-tanya untuk beberapa ketika misalnya:-
1. Kenapa Allah SWT memfardukan sembahyang Zohor empat rakaat, tidak tiga atau dua?
2. Apa maksud ‘Ba’ dalam awal ayat Bismillahhirrahmannirrahim?
3. Apa Muhammad awal dan Muhammad akhir?
4. Nama Allah yang diketahui umum ialah 99, apakah nama Allah yang ke 100?
5. Apa makna Alif, Dal, Mim pada nama Adam atau Mim, Ha, Mim, Dal, pada nama Muhammad?
Pertanyaan yang direka-rekakan itu menimbulkan rasa ingin tahu dalam hati orang yang dipengaruhi itu kerana sebelum itu mereka belum pernah mendengar dari mulut guru-guru agama atau alim ulama. Untuk mengetahui jawapan tersebut, seseorang itu mestilah memenuhi syarat tertentu seperti berikrar tidak akan mendedahkan rahsia pengajaran yang dianggap ‘isi’ itu, mematuhi semua cakap dan arahan guru tanpa membantah, dan lain-lain syarat lagi termasuk meminum air jampi. Keengganan mematuhi syarat-syarat yang diberikan itu menyebabkan seseorang itu dianggap tidak layak menerima ilmu yang disifatkan sebagai inti dari segala agama. Begitulah cara yang selalu dilakukan oleh pembawa ajaran sesat supaya ajarannya tidak bocor ke pengetahuan orang ramai yang dikira bukan ahlinya.
Pengajaran biasanya dibuat di rumah pengikut atau di surau (balaisah) kepunyaan kumpulan mereka sendiri, bukan di masjid sebagaimana yang lazim dilakukan oleh guru-guru agama. Di sana mereka berkumpul dan mengadakan majlis zikir dan pengajaran cuma diselit-selitkan sahaja atau diadakan pada waktu-waktu tertentu setelah berpuas hati bahawa dalam majlis tersebut dan tidak ada orang luar yang cuba menyamar untuk mencari rahsia. Jika dalam majlis tersebut ada orang yang tidak dikenal atau disyaki, maka pelajaran langsung tidak akan diadakan bahkan majlis tersebut bersurai begitu sahaja.
Satu-satunya  pengajaran khusus yang disampaikan kepada individu tertentu tidak boleh dimaklumkan kepada orang lain tanpa izin guru hatta sesama pengikutnya sendiri. Alasannya ialah kerana darjah seseorang itu tidak sama dan mereka tidak semuanya layak menerima ajaran yang kononnya isi itu kecuali kepada mereka yang sesuai sahaja mengikut penilaian guru mereka sendiri. Pengajaran hanya disampaikan secara lisan tanpa berpandukan kitab-kitab tertentu. Jika ada pun, buku tersebut ditulis sendiri oleh guru berkenaan dan penggunaannya amatlah terbatas supaya tidak jatuh ke tangan orang lain.
Guru ajaran sesat menggunakan berbagai muslihat untuk menundukkan pengikutnya supaya patuh kepada segala arahan dan kehendaknya. Kesetiaan pengikutnya diukur dengan pengorbanan yang dicurahkan terhadap guru. Semakin banyak pengorbanan yang diberikan kepada guru semakin tinggilah pula penghormatan guru terhadap pengikut berkenaan dan semakin rapatlah hubungan mereka. Sebaliknya pula, sedikit pengorbanan yang diberikan mereka semakin rendah dan jauhlah hubungannya dengan guru dan pengikut. Oleh itu tidak hairanlah jika terdapat guru ajaran sesat memiliki kesenangan serta kemudahan yang diperlukannya kerana itu semua diperolehi hasil dari pengorbanan pengikut setianya. Bagi mereka, syafaat guru adalah merupakan suatu ganjaran yang amat diharapkan.
 Di samping berusaha membentuk jiwa pengikut-pengikut supaya kasih dan taksub terhadap ajaran yang dianuti, pembawa-pembawa ajaran sesat tidak lupa mempengaruhi mereka supaya bersikap benci terhadap sesiapa jua yang cuba menentang kegiatan mereka termasuk guru-guru agama, alim ulama, undang-undang, pihak berkuasa agama dan lain-lain. Kononnya usaha suci mereka itu ditekan dan dihalang oleh golongan yang tidak mahu kepada kebenaran. Segala hujah yang dibawa oleh guru ajaran sesat untuk menegakkan kepalsuannya itu memang diterima oleh para pengikutnya tanpa berfikir lagi. Dari sinilah lahirnya rasa simpati terhadap diri guru mereka yang dianggap tidak bersalah itu.
Keadaan ini menimbulkan sikap memberontak dalam diri pengikut-pengikut ajaran sesat terhadap pihak berkuasa alim ulama dan mereka lantas mengambil sikap memulau segala program keagamaan yang ditaja oleh orang lain yang bukan dari golongan mereka seperti kuliah-kuliah agama, perayaan agama, sembahyang Jumaat, sembahyang jemaah di masjid atau surau, majlis perkahwinan dan sebagainya. Sama ada disedari atau tidak, kumpulan penganut ajaran sesat itu telah menggugat perpaduan masyarakat dan menjejaskan keharmonian hidup akibat dari perbezaan pegangan ajaran agama antara mereka dan orang ramai. Pernah terjadi krisis rumahtangga bila salah seorang dari pasangan suami isteri enggan menyertai kumpulan tersebut. Demikianlah kesan yang wujud di dalam masyarakat akibat dari pengaruh ajaran sesat yang merbahaya itu.
 Tidak syak lagi gerakan ajaran sesat itu jika dibiarkan membiak akan mencetuskan suasana yang menggugat keselamatan negara seperti apa yang berlaku di Batu Pahat, Johor pada 16hb. Julai, 1980. Dalam peristiwa itu banyak nyawa telah terkorban dan cedera apabila kumpulan ajaran sesat yang dipimpin oleh seseorang yang mengaku sebagai Imam Mahdi menyerang balai polis Batu Pahat. Motif serangan itu adalah semata-mata menunjukkan kekuatan mereka sebagai pejuang kebenaran kononnya, kerana terpengaruh dengan dakwaan ketua mereka bahawa orang yang beramal dengan ajaran itu akan menjadi kebal. Peristiwa seperti itu tidak mustahil akan berlaku lagi, jika masyarakat mengambil sikap tidak peduli terhadap gerakan ajaran sesat yang berlaku di kawasan mereka.
Ajaran Sesat - Dr Fattah
drpd blog Dr Abu Anas Al Madani

Tiada ulasan: