Selamat Datang

Jangan kita letih melakukan kebaikan kerana letih akan hilang sedang kabaikan dicatat berterusan, Ingat, jangan kita seronok melakukan dosa dan maksiat kerana seronok akan hilang, sedang dosa dicatat berterusan. Saidina Ali Karramallahu wajhu

Sabtu, 19 Mac 2011

sajak2 hasil tulisan saya

HIMPUNAN SAJAK-SAJAK PILIHAN

MOHAMMAD AZHAR BIN RASLI

LAYAR KEHIDUPAN –Mohammad Azhar Rasli

Hidup ini

Kita ibaratkan sebagai sebuah bahtera,

Yang sedang belayar di tengah samudera,

Perlahan-lahan, dalam gerakan yang sementara,

Menuju ke negeri yang selama-lamanya,

Bahtera ini,

Kekadang belayar tenang,

Merentas laut yang terbentang,

Namun ada kalanya,

Ketenangan itu lenyap dan hilang,

Apabila datangnya gelora yang menjulang,

Apabila datangnya badai yang menghalang,

Maka bahtera ini kan bergoncang,

Memporak-perandakan isi dalamnya,

Maka gelisahlah segala penghuninya,

Lintang-pukang arah larinya,

Bila raja mula gelisah,

Maka terasul segala titah,

Apa yang diucap apa-apa entah,

Sehingga negeri musnah dan punah,

Bilaman raja terasa resah,

Semua rakyat jadi gelisah,

Makan tak kenyang, mandi tak basah,

Air di mata mula melimpah.

SENJA ITU- Mohammad Azhar Rasli

Petang hari itu,

Berdiri aku di anjung surau,

Mendongak langit tinggi,

Melihat sinar mentari petang,

Berbalam-balam di telan awan malam,

Cahaya kekuningan,

Di pingggir langit,

Ufuk sebelah barat,

Sangat indah, terlalu indah,

Padaku, sebagai seorang anak seni,

Keindahan yang tak mampu,

Untuk kuungkap di bibir,

Petang hari itu,

Terasa amat permai,

Meniti keagungan kuasa Ilahi,

Pada, dada langit yang luas terbentang,

Dengan pelbagai bentuk sang awan,

Yang menghias layar alam,

Burung-burung,

Tebang seiringan,

Menikamati kesegaran,

Redup petang itu,

Senja hari ini,

Sudah hampir ke penghujungnya,

Mungkinkah ada lagi, peluang untukku,

Meniti cerah hari esok.

SYAIR MENGENANG NASIB- Mohammad Azhar Rasli

Wahai semua umat manusia,

Usah kau ragu dan sambil lewa,

Kerana saat itu pastikan tiba,

Hanya masa yang berbeza,

Kita semua sudah mengerti,

Bahawa mati itu pasti,

Cuma apa yang bermain di hati,

Bagaimanalah keadaannya nanti,

Sudah memang fitrah dunia,

Kawan ketawa mudah dicari,

Kawam menangis seorang diri,

Manusia memang pandai berakata,

Terutamanya hal berkaitan harta,

Bukan kerana sesiapa jua,

Tetapi diri tamak haloba,

Jika hal berkaitan harta,

Sanggup mengaku saudara mara,

Tapi itulah perangai manusia,

Sudah habis madu dihisap,

Sepah dibuang merata-rata,

Waktu berharta bukan main baik,

Tangan dihulur berkali-kali,

Namun bila tiada apa,

Susah pula nak nampak muka,

Bukan kita hendak mengata,

Tapi itulah hakikat manusia,

Tika senang mengaku bersama,

Bila saat susah itu tiba,

Entah dirinya hilang ke mana,

Sekali lagi hendak kukata,

Bukan bertujuan untuk mencela,

Tapi hal ini terbukti nyata,

Malah terjadi di merata-rata.

SURATAN TAKDIR- Mohammad Azhar Rasli

Entah kemana,

Akan kubawa diri ini

Sedih sungguh rasanya hati,

Sudah jatuh ditimpa tangga,

Kerana perbuatan yang tercela,

Entah di mana salah dan silap,

Hatiku hampir kepada malap,

Sudah dihempap maruah diri,

Dikata pula bertubi-tubi

Apakan daya aku ini,

Sebatang tubuh daging sekepal,

Ibarat durian dengan mentimun,

Dihempap binasa, menghempap binasa,.

Di mana lagi akan kucari,

Apa yang dinamakan sahabat sejati,

Yang ada hanya memilukan hati,

Luka di tangan nampak berdarah,

Luka di hati siapa tahu,

Kerana kata lidah lembut itu,

Terasa sangat menusuk kalbu,

Terbakar kampung nampak asap,

Terbakar hati siapa tahu,

Macam-macam telah kupendam,

Di lubuk hati ini,

Sedih rasanya, dipakah bertubi-tubi,

Dijadikan bahan menggelikan hati,

Entah apa yang difikir mereka,

Mungkin berhibur semata-mata,

Tapi berhiburlah berpada-pada,

Sampai menyesa hati dan jiwa,

Malah mendatangkan rasa perit dan kecewa,,

Malas rasanya hendak bersemuka,

Kerana lidah yang terkadang celaka,

Dalam menutur butir bicara,

Setelah jauh kurenung,

Entah apa kesudahannya,

Entah di mana,

Akan kudamparkan diri ini,

Dibenci oleh kawan dan lawan,

Ke mana pergi dicemuh semata,

Bagai melukut di tepi gantang,

Masuk tak bertambah,

Keluar tak kurang,

Mungkin itulah yang mereka fikirkan,

Terhadap hamba yang kerdil ini,

Duhai sahabat duhai saudara,

Berhati-hatilah dalam berkata,

Kerana kata badan binasa,

Kerana pulut santan binasa,

Lidah lembut tidak bertulang,

Mudah sahaja untuk bertutur,

Tapi kena kau ambil kira,

Apa yang lahir di lidah itu,

Jangan sampai, kata terjadi dosa,

Sampai hatiku rasa terseksa,

Kerana kata yang mungkin kaukira, bergembira,

Dalam mempermain jiwa manusia,

Di dalam alam dunia yang fana,

Fikir-fikirkalah wahai sahabat,

Kita di dunia tidaklah lama,

Mungkin esok ataupun lusa,

Kita bakal balik ke sana,

Saat itu apabila tiba,

Barulah diri rasa berdosa,

Kerana terlalu banyak berkata,

Kata yang selalu mendatangkan dosa,

Wahai kawan-kawan semua,

Di saat itu tiada guna,

Harta dan juga saudara mara,

Jikalau ada amal dan taqwa,

Itulah hanya pembela jiwa.

MENTARI PETANG ITU –Mohammad Azhar Rasli

Pandanglah mentari petang ini sepuas-puas hatimu,

Kerana mentari esok hari belum pasti untukmu,

Masa berlalu sedetik demi sedetik,

Tapi ramai yang mengangap perkara itu,

Satu perjalanan waktu yang biasa,

Tapi biasa itu hanya bagi orang yang biasa,

Dan tidak sama sekali bagi orang yang luar biasa,

Kata orang berfikir sebelum berkata,

Tapi ramai orang yang terpaksa berfikir,

Setelah terucap sebuah kata-kata,

Renung-renungkanlah,

Wahai mereka yang diberi nikmat akal,

Pemikiran kadang-kadang melampaui kemampuan,

Jika hari ini kau kata cukup,

Tapi

Perlu kau sedar manusia itu,

Tak pernah cukup dengan apa yang ada,

Biarpun ia punyai emas sebesar gunung,

Tapi rasa mencukupi adalah suatu,

Yang di luar batas keupayaan,

Satu makhluk yang bergelar manusia.

SMK AGAMA SIK, 08200 SIK, KEDAH. –MOHAMMAD AZHAR RASLI (2008)

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah, Tuhan yang menguasai sekalian alam. Selawat dan salam ke atas Junjungan besar Nabi Muhammad saw, keluarganya dan para sahabatnya dan pengikut kepada sahabatnya.

Tatkala kaki melangkah untuk kali pertamanya, ketika aku tiba di destinasi yang mungkin terpaksa aku habiskan hidupku bertahun-tahun di situ. Pada mulanya, sebaik mata memandang kawasan yang menghijau luas terbentang, agak terhibur rasa di hati kecil. Ku nikmati hari-hari hidupku di situ, ada kalanya rasa suka yang amat sangat menyinggah di jiwa, ada pula ketika lainnya rasa duka yang sangat berat menyentap jiwa. Aku telah lalui kehidupan itu, sebagai insan biasa, Cuma mahuku berpesan kepada mereka yang masih berpijak di bumi itu, hati-hatilah selalu kerana tersembunyinya perkara yang akan berlaku. Hidup di tempat itu, persahabatan sangat penting, tanpa sahabat dan kawan-kawan, rasa sunyi dan sepi akan mula menghuni jiwa. Sebaik mungkin, pilihlah kawan-kawan yang baik yakni kawan-kawan yang tidak mengabaikan tanggungjawabnya terutama tanggungjawab kepada Allah swt. Apabila rasa sedih terasa di hati, selalulah ingat kepada Tuhan kerana dialah pemilik kepada rasa sedih tersebut. Sentiasalah mengingati Allah kerana dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang. Sudah menjadi lumrah alam , sebagai manusia kita terpaksa menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran tapi di sebalik kesusahan ada kesenangan. Ingatlah, di sebalik kesusahan ada kesenangan. Selain kawan-kawan yang baik, masa juga selalu menjadi masalah kepada kita. Cuba perhatikan sebaik mungkin, kehidupan di tempat itu sebenarnya amat bergantung kepada masa. Jika kita seorang yang sedar atau mungkin separuh sedar, kita sebenarnya terpaksa mengikut rentak masa. Tanamlah kejap-kejap dalam dirimu, masa itu bukan emas tetapi lebih berharga daripada emas. Satu saat yang berlalu tak mungkin dapat diundur kembali walaupun dibeli dengan emas sebesar bumi. Ingatlah tujuan yang sebenar terjejaknya kaki kita di situ. Kata Al-Imam wakeq iaitu seorang ulama’ dan guru kepada Al-Imam As-Syafi’e yang maksudnya berbunyi “Ilmu itu cahaya. Dan cahaya Allah tidak akan datang kepada orang yang melakukan maksiat”. Saudara yang kukasihi, tidak dinafikan kita sebagai insan biasa pasti pernah tersilap kata tersasul bicara, pernah pula tercela tingkah dan juga lakunya tapi janganlah kita berputus asa daripada rahmat keampunan Allah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Hidup di tempat itu memerlukan pengorbanan yang sedikit Cuma, jadi bersabarlah kerana orang mu’min itu apabila diberi kesenangan mereka bersyukur dan apabila ditimpa bala mereka bersabar. Seperkara lagi yang ingin aku nyatakan di sini dan lebih aku tujukan perkara ini buat mereka yang baru sampai di tempat itu, apabila hati dikuasai rasa sedih yang teramat sangat kerana mungkin teringat akan mereka yang berada jauh, maka lepaskanlah kesedihan itu dengan mengalirkan air mata jika itu yang dimahukan hati kerana jika engkau selidiki dengan teliti, itu adalah penawar yang sangat mujarab bagi kesedihan. Jangan terlalu ikutkan kata hati nescaya engkau akan mati, jangan pula hanya mengikut kata rasa, nescaya engkau binasa. Engkau sebenarnya ibarat sebuah bahtera yang sedang belayar dalam lautan dalam, perbaikilah hati kerana hati itu adalah nakhoda yang mengemudi bahtera itu, jika selatan kata nakhoda nescaya ke selatanlah bahteramu itu jadi begitulah kita ibaratkan hati yang ada di dalam tubuh, kalau baik hati itu maka baiklah tubuh itu, kerana hati itu raja segala anggota. Di sini, ingin aku nyatakan kepadamu penyakit-penyakit hati yang sekadar pengetahuanku, antara penyakit hati itu ialah marah, kasih akan dunia, dengki, riak(menunjuk-nunjuk), ujub(hairan diri), takabbur(membesarkan diri) dan banyak lagi yang tidak dapat aku sebutkan di sini. Warkah ini aku tujukan kepada kamu yang membacanya dan berbanyak-banyak terima kasih aku tujukan kepada para pembimbingku ketika aku masih di sana, dan kepada mereka yang pernah bersahabat dan kepada yang mengenaliku. Saudaraku yang berbadan sederhana kecil, berkulit kemerahan, berambut halus yang beralun lembut semoga sihat selalu dan baik perilaku. Kepada saudaraku yang berbadan agak besar, kulitnya hitam manis, wajah yang mesra selalu semoga yang terbaik bagimu. Kepada saudaraku yang agak kanak-kanak perangainya, berkulit kuning langsat,mudah merajuk tapi mudah dipujuk, semoga bahagia mengiringi hidupmu. Kepada yang mesra selalu, dengan lawak-lawak yang agak sederhana, kulitnya hitam manis tapi mungkin tak seperti gula, agak tinggi dengan tubuh yang sederhana, semoga terus dengan kesejahteraan. Kepada yang agak besar dengan rupa yang umpama MB Terengganu, berkulit sawo matang, moga tak sibuk selalu dengan urusan yang tak perlu. Dan kepada yang membuatkan seorang pelajar kelasnya tahun 2008 menjerit kehisterian, yang menjadi lagenda bumi Indonesia yang bernama Palembang, moga sihat selalu dengan dengan sifat yang dahulu. Aku pinta kepada yang mengenali diri ini, doakan untukku dalam negeri dunia dan akhirat. Segala puji bagi Tuhan yang memberi izin padaku menyiapkan warkah ini.

28 Jun 2009/5 Rejab 1430 –Ahad..2.00p.m.

Kulihat pada wajahmu terpapar murni keindahan seikhlas hati seihsan sanubari, aku senang denganmu, perangaimu seikhlas pandangan matamu. Aku manusia dan bersifat dengansifat manusia yang biasa Cuma. Engkau hadir dalam diriku sebagai kawan dan sahabat serta adik yang baik. Aku sangat menyenangimu tapi aku tidak tahu apa dalam hatimu. Moga suasana damai dan harmoni, seiring selalu tanpa melewati batas waktu yang tertentu. Wajahmu yang bersih, selalu membuat aku teringat masa dahulu yang telah berlalu jauh. Alangkah indahnya jika masa muda itu kembali walaupun sehari. Kehidupan kanak-kanakmu ceria sekali. Aku kasih padamu. Kasih yang terbit dari hati yang dalam.kasih itu tak dapat digambar dengan perbuatan. Aku lega dan selesa memerhati tingkah lakumu, senyumanmu, akhlakmu, yang pasti semua itu, rencah hidupmu. Aku tidak mahu terlalu mesra denganmu wahai adik, kerana aku bimbang suatu masa, akan datang pula rasa benci menyapa, kerana setiap sesuatu ada lawannya, miskin lawannya kaya, susah lawannya senang, hidup lawannya mati dan perlu kau ingat adik, sayang lawannya benci. Aku menulis berdasarkan pengalaman adik, bukan hanya sekadar pengetahuan. Sekian, wassalam.

13 Julai 2009/20 Rejab 1430 -9.09a.m.

Wahai insan kecil yang halus lagi sempurna dan baik rupa serta indah akhlak, engkau kuhadapi dalam suasana yang pelbagai. Engkau padaku ibarat penenang yang nyaman sekali. Aku senang dengan tingkah lakumu. Perangaimu yang keanak-anakan dan kekanak-kanakkan sering membuat hatiku terhibur. Hatimu yang bersih dan lembut, jiwamu yang murni, akhlakmu yang terpuji, senyumanmu yang berseri, renungan matamu yang redup dan bererti, sering membuat aku terasa insaf dihati. Wahai kanak-kanak dan adik yang baik, jadilah manusia yang bersifat dengan sifat manusia yang sempurna. Memang sudah fitrah alam wahai adik, manusia itu banyak dugaannya. Namun kita sebagai manusia perlu sedar,bahawa kita ini manusia. Sabarlah dalam menghadapi dunia kerana dunia itu mencabar sekali. Dunia mencorak wajahmu gembira, dunia juga kekadang mencorak sedih pada wajahmu. Adik, setiap hari aku bertemu denganmu, setiap pagi engkau kukejutkan, setiap berjumpa akan kusapa dirimu wahai adik. Adik, Allah swt menemukan aku dan engkau ketika usia mu sudah 12 tahun dan itu membuat aku sedar dan terfikir, bahawa aku bukanlah layak untuk mengatakan bahawa aku pelindungmu keranaaku baru sahaja mengenali dirimu tetapi Tuhan telah melindung dan menjaga dirimu dengan sempurna dari engkau kecil hinggalah sekarang. Adik, aku akan sentiasa merindui perangaimu yang keanak-anakkan, walaupun aku sedar bahawa perangai itu akan berlalu setelah engkau meningkat remaja dan dewasa. Allah pertemukan aku dan engkau dalam suasana yang damai sekali. Adik, moga langkah kakiku danengkau di dunia mendapat rahmat dan kasihan belas Allah swt.

9 7 2009, khamis, 8.44a.m.

Yang berlalu usah diambil kira tinggalkannya sendiri kerana itu takdir Ilahi. Dengan mengingati perkara yang telah berlalu, kadang-kadang menyebabkan sakit hati, kadang-kadang menyebabkan dendam dan dengki. Janga fikirkan keburukan yang menimpa diri, nanti akan membawa kepada rugi. Rugi waktu, rugi tenaga dan rugi segalanya. Bersangka baiklah, kerana sangka baik sesama manusia dapat memurnikan hati. Biarlah kata-kata mereka berlalu tanpa sebarang kritikan atau tohmahan. Biarlah jiwa sentiasa menghadap kepada diri. Biarlah mereka dengan kehidupan mereka. Biarlah mereka dengan kata-kata dan perlakuan mereka kerana mereka lebih mengetahui. Biarlah mereka kerana mereka lebih alim. Sedarlah diri ini serba kekurangan, jadi, insaflah diri, jangan banyak mengkritik. Jadilah orang bawah, jangan jadi orang atas. Orang bawah itu senang hidupnya kerana ia hanya mengikut arahan orang atasnya. Jadi orang atas itu susah, kerana mereka terpaksa mengurus diri dan mengurus orang lain. Jadi pemerintah itu sukar, kerana dia kena keluarkan perintah dan jika dia tersalah mengeluarkan perintah, maka dia kena tanggung pula akibatnya. Jangan ketawakan orang kerana nanti kita pula akan diketawakan orang. Jangan banyak menentang kerana nanti kita akan ditentang. Banyakkanlah diam daripada berkata sia-sia, kerana diam itu emas dan berkata yang sia-sia itu umpama tanah. Jadilah pendengar yang baik dan berfikirlah sebelum berkata kerana kata-kata itu kadang-kadang bisanya lebih menyakitkan daripada mata pedang. Luka dengan sebab pedang boleh diubat, tetapi luka dengan lidah itu lebih susah untuk sembuh.

10 Ogos 2009/ 19 Syaaban 1430 –isnin , 9.25 a.m.

Wahai adik yang baik, kekadang aku rasa menyesal kerana mengenalimu. Hatiku sudah sebati dengan kerenahmu. Apabila engkau berada jauh denganku, hatiku rasa hiba dan sedih sekali. Setiap detik yang berlalu, ingatanku selalu melayang kepada dirimu, tingkah lakumu, gelak tawamu,yang mana semua itu, resepi kanak-kanakmu. Aku merinduimu wahai adik, rasa janggal pada hatiku dengan ketiadaan dirimu. Dulu, hidupku biasa, tanpa kehadiranmu. Lalu, engkau kukenal secara biasa, dan kehidupanku biasa. Namun, setiap hari kulalui bersama perangai kanak-kanakmu membuat hatiku terhibur sekali. Namun, bila hatiku sangat serasi dengan perangaimu, lalu engkau berada jauh denganku, aku rasa hidupku tidak sempurna. Hati terlalu merindui dirimu. Aku termenung mengenangkan engkau, yang berda entah bagaimana. Ikhlas daripada hati aku lahirkan bahawa rasa kasih dan sayang pada sifat-sifat dirimu mendalam sekali. Aku senang denganmu, ceria sekali. Aku senang dengan abahmu,yang ramah dalam berbicara dan pandai menyusun kata. Aku malu pada ibumu,seorang yang bijak serta lemah lembut perkataannya. Wahai adik yang sangat kusayangi, semoga Allah swt memberkati dan meredhai, kehidupanku dan kehidupanmu dalam kehidupan dunia yang sementara dan kehidupan akhirat yang selama-lamanya. Wassalam.

DUHAI AYAH.!!!

Semoga segala usahamu, ayah,

Tidak sesia cuma,

Masih segar dalam ingatan,

Membonceng di belakangmu,

Meredah hujan lebat,

Engkau hantarkan aku ke sekolah.

Ayah,

Jasamu tidak dapat dihitung kira,

Baktimu tidak dapat ditimbat sukat,

Budimu tak mampu dibalas sama,

Aku bangga wahai ayah,

Kerana menjadi anakmu,

Setelah melihat ketabahan, kecekalan dan kesabaranmu,

Rasa insaf menyelinap ke seluruh ruang tubuhku,

Ayah,

Moga setiap langkah kakimu,

Di kebun getah pada pagi hari,

Semoga tiap titis peluhmu,

Semoga setiap saat penat badanmu,

Tidak sia-sia pada dirimu.

Ayah,

Doaku selalu pada Allah,

Semoga ketenangan dan kebahagiaan,

Mengiringi langkah hidupmu,

Dalam negeri dunia dan akhirat.

BANGSAKU…!!!

Wahai bangsaku,

Duniamu hari ini,

Dihiasi warna-warna pelangi,

Warna-warna yang terhasil,

Daripada darah para pahlawan,

Yang gugur dalam perjuangan,

Yang suci murni.

Wahai bangsaku,

Langkah kakimu hari ini,

Tenteram dan selesa sekali,

Itulah, hasil dari kaki yang dulunya berlari,

Mengejar pengkhianat bangsa,

Bangsa yang sangat disayangi,

Wahai bangsaku,

Kini Malaysia sudah terkenal di mata dunia,

Kini bangsa Malaysia bangsa berjaya

Ingatlah,

Setiap darah pahlawan yang menitis,

Setiap perit siksa yan dirasai,

Perlu pada kita, hayati,

Kerana merdeka, satu pengorbanan, pasti..!!!

SEDIHNYA HATI INI…!!!

Aku kadang-kadang terasa di hati,

Dengan sikap-sikap yang mungkin terlepas pandang,

Aku harap aku akan segera pergi dari tempat ini,

Kerana di sini kedamaian telah direnggut dari hatiku

Kadang-kadang aku tersentak dengan perkataan yang kasar,

Aku ini lemah,

Dan aku rasakan kelemahan itu semakin ditambah atasku,

Aku berharap dipindahkan aku segera dari tempat ini,

Kerana diri ini sudah tidak diperlukan,

Kadang-kadang diri ini dijauhi,

Benarlah masa itu berlalu

Dan perkara yang berlaku bersama masa,

Hanya tinggal sejarah,

Apabila aku dijauhi oleh orang-orang yang aku kasihi,

Aku rasa sudah tidak ada nilai dunia padaku,

Di sini aku berasa gembira,

Dengan saudara-saudara kecil yang sering aku bersama mereka,

Tetapi aku rasa sudah tiba masa mereka jemu denganku,

Dan aku pada saat ini tidak lagi diperlukan,

Dengan itu aku berarap Allah segera pindahkan aku dari tempat ini,

Namun aku bersyukur,

Dikenalkan dengan insan-insan kecil,

Yang menjadi penenang buatku di sini,

Hidup di sini terasa sunyi sekali,

Apabila diri ini dijauhi,

Oleh orang yang dikasihi,

Aku berharap moga insan-insan ini bahagia,

Apabila aku tidak lagi di sini,

Kerana mungkin dengan ketiadaanku,

Mereka merasa bahagia,

Aku ini lurus,

Apabila aku menyayangi seseorang,

Maka kasih sayangku mengatasi segalanya,

Aku rela korbankan apa saja kepada orang yang kukasihi,

Masa, tenaga, harta benda malah nyawa,

Aku sanggup korbankan

Demi mereka yang kukasihi,

Tetapi, sejauh manakah pengorbananku,

Terpahat di hati mereka, bukan balasan yang aku pinta,

Cuma jangan sakiti hati ini,

Kerana diri ini,

Sudah penat menahan kesakitan.

Tiada ulasan: