Selamat Datang

Jangan kita letih melakukan kebaikan kerana letih akan hilang sedang kabaikan dicatat berterusan, Ingat, jangan kita seronok melakukan dosa dan maksiat kerana seronok akan hilang, sedang dosa dicatat berterusan. Saidina Ali Karramallahu wajhu

Rabu, 6 April 2011

Adakah bumi masih selamat untuk didiami? Bincangkan.


Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillahirabbila’lamin. Wassolatu wassalamu a’la saidina Muham waa’alihi wasohbi ajmai’n.

Bumi merupakan tempat yang didiami manusia sejak sekian lama. Manusia diciptakan telah menjalani hidup di bumi sepanjang hayatnya. Contoh yang paling mudah dapat kita aplikasikan adalah seorang manusia yang dilahirkan oleh ibunya di bumi, membesar sebagai manusia yang sempurna di bumi, berkahwin dan beranak-pinak di bumi dan akhirnya meninggal dunia atau matinya juga di bumi. Jadi, persoalan yang kita bincangkan sekarang, adakah bumi masi selamat untuk didiami hidupan khususnya manusia. Hal ini kerana beberapa kejadian yang tidak diingini yang semakin kerap berlaku di bumi yang kita duduki seperti gempa bumi berukuran 9.1 skala ritcher yang berlaku di Aceh, Indonesia pada 26 Disember 2004, kebakaran hutan di Sumatera, Indonesia dan juga di hutan Amazon, banjir besar yang melanda hampir satu pertiga muka bumi Australia dan yang terbaru iaitu gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun pada 11 Mac 2011. Gempa bumi tersebut direkodkan berukuran 9.0 skala ritcher yang memusnahkan sebahagian besar negara Jepun dan mengakibatkan ribuan nyawa terkorban. Kejadian gempa tersebut juga yang mendorong berlakunya letupan rektor nuklear di Fukushima, Jepun yang menyebabkan kebocoran radiasi dan membimbangkan banyak pihak. Walaupun berbagai-bagai bencana yang berlaku sekeliling kita di bumi ini, perlu kita sedar dan faham bahawa setakat ini belum ada seorang pun pengkaji bumi, geologi atau saintis yang menemukan satu bumi baru yang diyakini boleh didiami manusia. Yang lebih utama bagi kita adalah mengkaji setiap permasalahan yang berlaku di sekeliling kita. Hal ini mustahak untuk mengetahui punca sebenar yang menyebabkan kejadian-kejadian tidak ingini seperti gempa bumi, tsunami, kebakaran hutan, banjir, tanah runtuh dan sebagainya berlaku. Oleh yang demikian, kita sebagai manusia perlu merasakan bahawa tanggungjawab untuk menjaga bumi daripada kerosakan adalah tanggungjawab kita. Hal ini kerana kita yang menghuni muka bumi dan paling memainkan peranan di bumi berbanding hidupan lain. Dengan itu saya berpendapat bahawa bumi ini masih selamat diduduki hidupan khususnya manusia sekiranya kita dapat memulihara kembali muka bumi ini dan bersikap lebih bertanggungjawab dalam menguruskannya. Dengan akal yang dianugerahkan kepada kita, kita mempelbagaikan corak bumi ini, dengan bangunan-bangunan pencakar langit, pusat-pusat peranginan, dan ladang-ladang tanaman yang luas. Kita mampu melakukan kesemua itu dengan akal fikiran dan daya usaha yang kita peruntukan untuk itu. Saya berpendapat bahawa bumi ini masih selamat untuk diduduki atas beberapa faktor yang saya kira menjawab persoalan ter sebut. Antara faktor-faktor yang akan saya kemukakan secara lebih lanjut adalah faktor muka bumi atas dasar udara, tanah dan air. Kedua adalah berkenaan dengan bencana yang berlaku atas dasar geografi, masa dan kesan. Ketiga berkaitan dengan usahasama manusia yang menyumbang kepada kebaikan dan keburukan bumi dalam aspek aktiviti, kesan dan akibat kepada bumi dan penghuninya. Saya akan cuba menghuraikan secara lebih terperinci dan mengikut kaedah kod yang dikehendaki dalam kemahiran berfikir.

Aspek pertama yang saya beri perhatian adalah faktor muka bumi. Kita sedia maklumbahawa bumi yang kita duduki ini mempunyai keperluan asas manusia seperti udara, air dan tanah. Kita manusia di bumi selalu berfikir dan mencari jalan untuk mendapat kesenangan dan kebahagian dalam pelbagai aspek kehidupan. Kita berlumba-lumba mencari kekayaan dan keseronokkan hidup dunia dalam pelbagai aspek kehidupan. Kita bekerja, mencari pasangan, berkahwin dan beranak cucu di atas muka bumi ini. Dalam kekalutan tersebut, kita kadang-kadang terlupa bahawa kita tidak perlu berlumba-lumba mencari udara, air dan tanah secara asasnya kerana semua iu ada di sekeliling kita tanpa perlu kita berlumba-lumba mencarinya. Cuba kita bayangkan, apabila kita bangun pada satu pagi, kita terpaksa mencari tanah atau bumi untuk kita pijak dan kita terpaksa mencari udara untuk kita sedut. Pada waktu itu barulah kita sedar betapa pentingnya bahan asas yang selama ini ada disekeliling kita dan kurang kita beri perhatian kepadanya. Secara pasti, itulah hebatnya, bukti kukuh bahawa bumi ini masih utuh untuk kita diami. Hal ini kerana bahan-bahan atau keperluan asas tersebut masih setia bersama kita walaupun macam-macam kita lakukan kepadanya. Kita tidak perlu beratur panjang di pasar raya untuk membeli balang oksigen dalam keadaan biasa hidup kita. Kita juga tidak perlu membelanjakan wang untuk membeli air bagi mengalirkan sungai-sungai kita, semua itu sudah lengkap tersedia untuk kita di bumi. Tidak adakah dalam hati kita rasa berterima kasih kepada bumi dan yang menjadikannya untuk kita. Adakah kita rasa kita sudah bosan dengan keperluan asa yang disediakan bumi untuk kita sehingga kita merasakan bahawa bumi bukan lagi tempat selamat untuk kita. Kita lahir dibumi, kita membesar di bumi dan sampai satu tahap yang mana kita diuji dengan beberapa dugaan yang teruk, kita sudah menafikan kebaikannya kepada kita. Semua persoalan ini terjawab apabila kita tanyakan kepada diri kita. Barulah ada sedikit rasa sayang kepada bumi yang menjadi tempat tinggal yang baik untuk kita. Kekadang kerana perbuatan kitalah yang menjadi pendorong dan penyebab berlakunya pelbagai kerosakkan dan bencana di muka bumi. Hal ini akan saya sentuh secara lebih terperinci dalam aspek yang ketiga. Apa yang penting di sini bahawa setakat ini belum ada seorang pengkaji cakerawala pun yang menemukan planet sehebat bumi yang mampu menyediakan bahan asas kepada kita sebagai manusia untuk kita diami. Jadi, bumi adalah tempat yang masih sempurna untuk didiami walaupun berlaku beberapa kejadian yang seboleh-bolehnya kita mahu elak daripada berlaku seperti gempa bumi. Berdasarkan perincian kami yang pertama, iatu bumi merupakan penyumbang keperluan asas semujadi yang sempurna seperti air, udara, dan tanah, nyatalah bahawa bumi masih selamat untuk diduduki oleh hidupan khususnya manusia.

Seterusnya, perbicaraan kita beralih kepada fakta yang kedua dalam membincangkan tajuk “Adakah bumi masih selamat untuk didiami manusia” iaitu berkenaan dengan bencana yang berlaku atas dasar geografi, masa dan kesan. Pada bahagian ini, kita akan lebih jelas mengapa kami katakan bahawa bumi ini masih selamat untuk diduduki walaupun pelbagai bentuk bencana yang menimpa sama ada dari unsur atau bentuk semulajadi atau yang berkait rapat dengan perbuatan manusia seperti gempa bumi dan letupan rektor nuklear. Kita sering melihat dan menilai kekerapan bencana yang berlaku di bumi. Kita sering dikejutkan dengan kejadian yang berlaku terlalu pantas dan akibat daripada kejadian tersebut. Disebalik kekalutan kita menghadapi bencana tersebut, cuba kita lihat kepada bumi secara keseluruhannya. Pertama, secara mudahnya, jika kita nilai pada keadaan bentuk muka bumi atau geografi kawasan yang sering dilanda bencana seperti letusan gunung berapi. Secara mutlaknya dapat kita perincikan bahawa tidak semua permukaan muka bumi yang kita diami ini dilanda letusan gunung berapi. Hal ini maklum kepada kita kerana kawasan yang sering berlaku letusan gunung berapi dan gempa bumi adalah berada dalam kawasan lingkaran api pasifik. Kita kadang-kadang terlalu menumpukan kepada kawasan yang berbahaya kepada kita sehingga kita terkadang lupa bahawa masih banyak kawasan yang selamat di bumi dapat kita diami. Kita menunding jari ke sana-sini sehingga kita lupa tempat kita berdiri. Hal ini memberi pengetahuan kepada kita bahawa masih ada tempat yang baik untuk kita selain daripada kawasan yang dilanda bencana tersebut.

Pembahagian yang kedua dalam membicarakan faktor kedua ini adalah bekaitan masa berlaku sesuatu bencana. Kita lihat kembali sejarah, 26 Disember 2004 berlaku tsunami di Aceh yang meragut ratusan ribu nyawa dan terbaru pada 11 Mac 2011, tsunami yang berlaku di daerah Miyagi, Jepun. Dalam dua bencana yang hampir serupa tetapi belaku dalam kawasan dan masa yang berbeza, dapat kita ambil beberapa pengajaran dan kesimpulan yang besar. Pertama dari sudut geografi atau tempat berlaku bencana yang kita bincangkan dalam masalah yang pertama dan apa yang hendak kita beri perhatian di sini adalah berkaitan masa berlakunya dua kejadian yang hampir serupa ini. Tahun 2004 dan 2011 yang antaranya mempunyai beza selama 7 tahun. Dalam kenyataan ini, apa yang hendak kmi jelaskan bahawa sesuatu bencana tidak berlaku di semua tempat di bumi dalam masa yang serentak. Itulah hebatnya percaturan alam yang diatur oleh penciptanya jika dibandingkan percaturan manusia. Bumi masih memberi peluang kepada kita manusia walaupun kita sering memperlakukannya sesuka hati. Kita ditimpa bencana dan kita juga diberi satu tempoh masa untuk kita memperbaikinya. Malah, secara sedar atau tidak, kita juga dianugerahkan semangat kerjasama antara negara atas dasar kemanusiaan. Hal ini dapat kita lihat apabila sesuatu negara ditimpa bencana, akan berlumba-lumba negara lain untk memberikan bantuan dan pertolongan kepada negara yang ditimpa bencana tersebut. Tapi apa yang malangnya, kita tidak mengambil iktibar daripada kerjasama yang terpamer sesama negara-negara dunia hasil daripada bencana yang berlaku. Kesan daripada bencana-bencana yang berlaku menyebabkan secara tidak langsung, wujud berbagai-bagai badan amal sukarela yang bermatlamat untuk membantu mereka yang ditimpa bencana. Perkara ini adalah satu sikap yang baik dan jelas terpamer pada masyarakat hari ini yang lebih peka terhadap alam dan manusia sekitarnya.

Ketiga berkaitan dengan usahasama manusia yang menyumbang kepada kebaikan dan keburukan bumi dalam aspek aktiviti, kesan dan akibat kepada bumi dan penghuninya. Kita selalunya akan mencari jalan dan berusaha sungguh-sungguh untuk mencari jalan penyelesaian apabila berlaku sesuatu malapetaka yang menimpa muka bumi tetapi kita tidak mengkaji secara menyeluruh asal penyebab berlakunya masalah tersebut. Jika kita mengambil kira permasalahan yang berlaku ini secara adil, kita akan melihat dengan jelas betapa banyaknya campur tangan aktiviti manusia yang kadang-kadang menyebabkan kemudaratan kepada manusia itu sendiri. Semua bencana yang berlaku dari segi hukum alam adalah kerana kehendak Tuhan yang menjadikannya tetapi perkara ini berlaku dengan pembabitan meluas daripada manusia itu sendiri. Kami cuba bawakan beberapa contoh di sini supaya perkara ini lebih difahami. Penyebaran radiasi nuklear yang membahayakan nyawa manusia , penebangan hutan yang menyebabkan tanah runtuh dan banjir besar dan peningkatan suhu bumi yang mendadak akibat daripada eksploitasi kayu-kayu balak dan pelepasan pelbagai gas tidak sihat ke atmosfera. Hal ini semua adalah kerja buat dan hasil tangan manusia itu sendiri. Jadi, setelah kita mengenal pasti permasalahan yang berlaku, maka kita boleh mengubah perkara-perkara berikut sama ada secara drastik, berperingkat-peringkat atau perlahan-lahan. Hal ini penting kepada kita sebagai penghuni bumi. Sekiranya sesuatu musibah dan bencana menimpa bumi, maka kita juga terpaksa menanggung akibatnya kerana secara realitinya, kita adalah penghuninya. Manusia adalah yang paling layak mengubah keadaan yang berlaku di bumi kerana manusialah antara penyebab utama semua itu berlaku. Sekiranya perubahan yang dilakukan itu berjalan lancar, maka kita tidak perlu bersusah-payah meneropong cekerawala luas untuk mencari tempat kediaman kerana bumi masih selamat untuk didiami.

Tiada ulasan: