Cerita ini bermula ketika saya masih kecil. Saya lahir sebagai seorang
anak lelaki dalam sebuah keluarga miskin. Makan minum serba kekurangan.
Kami sering kelaparan. Adakalanya, selama beberapa hari kami terpaksa
makan berlaukkan ikan masin dikongsi satu keluarga. Sebagai anak yang
masih kecil, saya sering saja merungut. Saya menangis mahukan nasi dan
lauk yang banyak. Tapi ibu cepat memujuk. Ketika makan, ibu sering
membahagikan bahagian nasinya untuk saya. Sambil memindahkan nasi ke
mangkuk saya, ibu berkata : “”Makanlah nak ibu tak lapar.” – PEMBOHONGAN
IBU YANG PERTAMA.
Ketika saya mulai besar ibu yang gigih sering meluangkan watu
senggangnya untuk pergi memancing di tali air berhampiran rumah. Ibu
berharap dari ikan hasil pancingan itu dapat memberikan sedikit makanan
untuk membesarkan kami adik-beradik. Pulang dari memancing, ibu memasak
gulai ikan yang segar dan mengundang selera. Sewaktu saya memakan gulai
ikan itu ibu duduk disamping kami dan memakan sisa daging ikan yang
masih menempel di tulang daripada bekas sisa ikan yang saya makan tadi.
Saya sedih melihat ibu seperti itu.. Hati saya tersentuh lalu dengan
menggunakan sudu saya memberikan ikan itu kepada ibu. Tetapi ibu dengan
cepat menolaknya. Ibu berkata : “Makanlah nak, ibu tak suka makan ikan.”
– PEMBOHONGAN IBU YANG KEDUA.
Di usia awal remaja, saya masuk sekolah menengah. Ibu pergi ke kedai
dengan membawa sejumlah penyapu lidi dan kuih-muih untuk menyara
persekolahan saya,abang dan kakak. Suatu dinihari lebih kurang pukul
1.30 pagi saya terjaga dari tidur. Saya melihat ibu membuat kuih dengan
beremankan sebuah pelita di hadapannya. Beberapa kali saya melihat
kepala ibu terhangguk kerana mengantuk. Saya berkata : “Ibu, tidurlah,
esok pagi ibu kena pergi kebun pula.” Ibu tersenyum dan berkata :
“Cepatlah tidur nak, ibu belum mengantuk lagi.” – PEMBOHONGAN IBU YANG
KETIGA.
Di hujung musim persekolahan, ibu meminta cuti kerja supaya dapat
menemani saya pergi ke sekolah untuk menduduki peperiksaan penting.
Ketika hari sudah siang, terik panas matahari mulai menyinari, ibu terus
sabar menunggu saya di luar dewan. Ibu seringkali saja tersenyum dan
mulutnya terkumat-kamit berdoa kepada Illahi agar saya lulus ujian
peperiksaan ini dengan cemerlang. Ketika loceng berbunyi menandakan
ujian sudah selesai, ibu dengan segera menyambut saya dan menuangkan
kopi yang sudah disiapkan dalam botol yang dibawanya. Kopi yang kental
itu tidak dapat dibandingkan dengan kasih sayang ibu yang jauh lebih
kental. Melihat tubuh ibu yang dibasahi peluh, saya segera memberikan
cawan saya itu kepada ibu dan menyuruhnya minum. Tapi ibu cepat-cepat
menolaknya dan berkata : “Minumlah nak, ibu tak haus!!” – PEMBOHONGAN
IBU YANG KEEMPAT.
Setelah pemergian ayah kerana sakit, iaitu selepas saya baru beberapa
bulan dilahirkan, ibulah yang mengambil tugas sebagai ayah kepada kami
sekeluarga. Ibu bekerja mengambil upah di kebun, membuat penyapu lidi
dan menjual kuih-muih agar kami tidak kelaparan. Tapi apalah sangat
kudrat seorang ibu. Kehidupan keluarga kami semakin susah dan susah.
Melihat keadaan keluarga yang semakin parah, seorang pakcik yang baik
hati dan tinggal berjiran dengan kami, datang untuk membantu ibu.
Anehnya, ibu menolak bantuan itu. Jiran-jiran sering kali menasihati ibu
supaya menikah lagi agar ada seorang lelaki yang akan menjaga dan
mencarikan wang untuk kami sekeluarga. Tetapi ibu yang keras hatinya
tidak mengendahkan nasihat mereka. Ibu berkata : “Saya tidak perlukan
cinta dan saya tidak perlukan lelaki.” – PEMBOHONGAN IBU YANG KELIMA.

Setelah kakak dan abang habis belajar dan mula bekerja, ibu sudah pun
tua. Kakak dan abang menyuruh ibu supaya berehat sahaja di rumah. Tidak
payahlah lagi bersusah payah dan bersengkang mata untuk mencari duit.
Tetapi ibu tidak mahu. Ibu rela pergi ke pasar setiap pagi menjual
sedikit sayur untuk memenuhi keperluan hidupnya. Kakak dan abang yang
bekerja jauh di kota besar sering mengirimkan wang untuk membantu
memenuhi keperluan ibu, pun begitu ibu tetap berkeras tidak mahu
menerima wang tersebut. Malahan ibu mengirim balik wang itu dan ibu
berkata : “Jangan susah-susah, ibu ada duit.” – PEMBOHONGAN IBU YANG
KEENAM.
still fetus…
Setelah tamat pengajian di universiti, saya melanjutkan lagi pelajaran
ke peringkat sarjana di luar Negara. Pengajian saya di sana dibiayai
sepenuhnya oleh sebuah syarikat besar. Sarjana itu saya sudahi dengan
cemerlang,kemudian saya pun bekerja dengan syarikat yang telah membiayai
pengajian saya juga di luar negara. Dengan gaji yang agak lumayan, saya
berhajat membawa ibu untuk menikmati penghujung hidupnya di luar negara.
Pada pandangan saya, ibu sudah puas bersusah payah untuk kami. Hampir
seluruh hidupnya habis dengan penderitaan, eloklah kalau hari-hari
tuanya ini ibu habiskan dengan keceriaan dan keindahan pula. Tetapi ibu
yang baik hati, menolak ajakan saya. Ibu tidak mahu menyusahkan anaknya
ini dengan berkata ; “Tak payahlah, ibu tak biasa tinggal di negara
orang.” – PEMBOHONGAN IBU YANG KETUJUH.
Beberapa tahun berlalu, ibu semakin tua.. Suatu malam saya menerima
berita ibu diserang penyakit kanser. Ibu mesti dibedah secepat mungkin.
Saya yang ketika itu berada jauh diseberang samudera terus segera pulang
untuk menjenguk ibunda tercinta. Saya melihat ibu terbaring lemah di
katil hospital setelah menjalani pembedahan. Ibu yang kelihatan sangat
tua, menatap wajah saya dengan penuh kerinduan. Ibu menghadiahkan saya
sebuah senyuman biarpun agak kaku kerana terpaksa menahan sakit yang
menjalari setiap inci tubuhnya.. Saya dapat melihat dengan jelas betapa
seksanya penyakit itu telah memamah tubuh ibu sehingga ibu menjadi
terlalu lemah dan kurus. Saya menatap wajah ibu sambil berlinangan air
mata. Saya cium tangan ibu kemudian saya kecup pula pipi dan dahinya. Di
saat itu hati saya terlalu pedih, sakit sekali melihat ibu dalam keadaan
seperti ini.. Tetapi ibu tetap tersenyum dan berkata : “Jangan menangis
nak, ibu tak sakit.” – PEMBOHONGAN IBU YANG KELAPAN.
bukan salah ibu mengandung…
Setelah mengucapkan pembohongan yang kelapan itu, ibunda tercinta
menutup matanya untuk kali terakhir kali.
Anda bertuah kerana masih mempunyai ibu dan ayah. Anda boleh memeluk dan
menciumnya. Kalau ibu anda jauh dari mata, anda boleh menelefonnya
sekarang, dan berkata, ‘Ibu,saya sayangkan ibu.’ Tapi tidak saya.
Sehingga kini saya diburu rasa bersalah yang amat sangat kerana biarpun
saya mengasihi ibu lebih dari segala-galanya, tapi tidak pernah
sekalipun saya membisikkan kata-kata itu ke telinga ibu, sampailah saat
ibu menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Ibu, maafkan saya. Saya sayangkan ibu…