Selamat Datang

Jangan kita letih melakukan kebaikan kerana letih akan hilang sedang kabaikan dicatat berterusan, Ingat, jangan kita seronok melakukan dosa dan maksiat kerana seronok akan hilang, sedang dosa dicatat berterusan. Saidina Ali Karramallahu wajhu

Selasa, 4 September 2012

Azab Dan Nikmat Kubur Dalam al-Quran dan al-Hadis



Ustaz Dr. Abdullah Yasin
Alam Barzakh

          Sebenarnya istilah alam kubur hanyalah berdasarkan kebiasaan (ghalib) kerana setiap manusia yang wafat biasanya dikuburkan. Malahan menguburkan jenazah menjadi salah satu kewajipan (fardhu kifayah) ke atas orang yang masih hidup. Ini tidak bermakna bagi setiap manusia mesti ada kuburnya apabila mereka mati kerana ada-kalanya atas sebab-sebab tertentu terdapat manusia yang tidak diketahui kuburnya. Sebabnya pelbagai, mungkin kerana ditelan binatang buas, terbakar hangus, berkecai jasadnya kerana kemalangan dan sebagainya.

Istilah yang tepat menurut al-Qur’an dan al-Hadis ialah Alam Barzakh. Menurut keyakinan (iktikad) Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ahsetiap manusia akan berada di dalam satu alam yang dinamakan alam barzakh. Ia berada di antara alam pilihan (dunia) dengan alam akhirat. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala di dalam surah Al-Mukminun 23:99-100:

Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah dia: “Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia) - Supaya aku mengerjakan amal-amal yang salih dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan".

Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang dia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (dinding) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada Hari Kiamat).

          Menurut kamus Mukhtar al-Shahhah (مختار الصحاح) oleh Abu Bakr Al-Razi, makna barzakh ialah dinding pembatas antara dua bendaIa juga membawa makna apa yang terdapat di antara alam dunia dan alam akhirat sejak dari waktu kematian seseorang sehingga dia dibangkitkan. Jadi siapa yang mati maka itu bermakna dia telah masuk ke dalam alam barzakh tanpa mengambil kira bagaimana cara kematiannya.


Manusia Di Alam Barzakh

          Manusia terdiri daripada jasad dan roh sekalipun dengan hubungan antara keduanya yang bersifat sangat relatif (nisbi). Terdapat lima bentuk hubungan antara roh dan jasad, iaitu: 

  1. Hubungan antara roh dan jasad di dalam rahim ibu (janin).
  2. Hubungan keduanya di muka bumi setelah dilahirkan.
  3. Hubungan antara keduanya ketika tidur.
  4. Hubungan antara keduanya ketika di alam barzakh.
  5. Hubungan antara keduanya ketika dibangkitkan dari alam barzakh.

Walaupun roh berpisah setelah kematian namun perpisahan antara keduanya bukanlah perpisahan yang mutlak (firaq kulliy). Sungguh banyak dalil yang menjelaskan bahawa roh dikembalikan kepada jasad di dalam kubur ketika disoal oleh malaikat Munkar dan Nakir. Roh juga dikembalikan ketika menjawab salam orang yang menziarahi kubur. Pengembalian roh ini adalah pengembalian khas dan tidak semestinya pengembalian yang dapat menghidupkan jasad melainkan pada harikebangkitan.

 Sehubungan dengan hakikat ini Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah menjadikan untuk manusia tiga peringkat kehidupan, iaitu:
  1. Kehidupan Dunia.
  2. Kehidupan Barzakh.
  3. Kehidupan Qarar.
Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah menjadikan bagi tiap-tiap kehidupan tersebut khas dengan hukum-hakamnya yang tersendiri berbeza dengan kehidupan yang lain. Manusia dijadikannya memiliki jasad dan roh.

          Allah Subhanahu wa Ta‘ala menetapkan hukum-hakam di dunia berdasarkan jasad kasar manusia sedangkan roh hanya mengikutinya. Oleh sebab itu Allah menjadikan hukum-hakam syari‘at didasarkan kepada ucapan lisan dan amalan anggota sekalipun rohaninya bercanggah dengan apa yang diucap atau yang diamalkan.

Adapun hukum-hakam Barzakh, Allah Subhanahu wa Ta‘ala menetapkannya berdasarkan roh sedangkan jasad kasarnya hanya mengikutinya. Ini berbeza dengan kehidupan di dunia sebagaimana yang telah diterangkan di atas. Oleh itu di alamBarzakh badan akan turut merasakan kepedihan azab jika rohnya disiksa sebagaimana badan akan turut merasakan nikmat jika roh mendapat nikmat. Ini  kerana jasad adalah penyebab untuk mendapat nikmat atau sebaliknya siksaan.

Adapun pada Hari Kiamat ketika jasad dibangkitkan dari alam Barzakh untuk menghadap Allah, maka berhimpunlah jasad dan roh secara hakiki untuk menerima nikmat ataupun siksaan. Di alam akhirat inilah pertautan jasad dan roh menjadi yang paling sempurna. Ia melebihi pertautannya di alam yang lain kerana pertautan kali ini tidak akan dicemari oleh kematian, tidur, kerosakan dan sebagainya.


HIMPUNAN RISALAH DALAM BEBERAPA PERSOALAN UMMAH : BUKU 1
Penyusun : Hafiz Firdaus Abdullah

Tiada ulasan: