Institusi
kekeluargaan merupakan asas kehidupan sesebuah masyarakat. Masyarakat terbentuk
hasil daripada gabungan keluarga-keluarga yang bernaung di bawahnya. Oleh yang
demekian, kekeluargaan merupakan suatu elemen yang penting dalam menentu hala
tuju dan akhlak sesebuah masyarakat yang bertamadun.
Keluarga
merupakan tapak asas dalam menilai kemajuan dan perkembangan sesebuah
masyarakat. Keluarga yang bahagia dan harmoni dapat membentuk sebuah
persekitaran masyarakat yang makmur dan sejahtera. Seterusnya masyarakat yang
gemilang inilah akan menerajui negara ke arah negara maju yang menitik beratkan
adab dan akhlak dalam kalangan penduduknya. Hal ini penting untuk difikirkan
bersama kerana akhlak merupakan elemen utama dalam menilai tamadun sesebuah
masyarakat. Tanpa akhlak yang terpuji, masyarakat akan dipandang sepi dan tidak
mendapat penghormatan yang sepatutnya dari semua pihak yang menilai. Jika kita
telusuri secara teliti, Islam sebagai agama rasmi negara turut meletakkan
kepentingan akhlak yang mulia sebagai fokus utama untuk menghasilkan masyarakat
yang madani.
Berbalik
kepada keluarga sebagai asas kepada sesebuah masyarakat yang bertamadun, hal
ini kerana daripada keluargalah lahir insan-insan yang bakal mencorakkan wajah
sesebuah negara yang bertamadun. Dalam sesebuah keluarga, ahlinya terdiri
daripada ibu, bapa dan anak-anak. Dalam usaha membentuk sesebuah keluarga yang
sakinah, setiap ahli dalam keluarga hendaklah berperanan dengan baik demi
memastikan hasrat murni itu tercapai. Seorang bapa yang tugasnya sebagai ketua
dalam keluarga dan berperanan mencari nafkah yang halal untuk ahli keluarganya.
Selain itu, bapa juga ada orang yang bertanggungjawab membentuk disiplin
anak-anak sesuai dengan ajaran agama yang mulia dalam melahirkan anak yang
cerdas dan mempunyai sahsiah yang terpuji. Bapa bertanggungjawab penuh dalam
memastikan perjalanan kekeluargaan sentiasa berada pada landasan yang betul.
Implikasi yang besar akan timbul sekiranya bapa atau suami tidak berperanan
seperti yang sewajarnya dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Bapa juga perlu
menunjukkan contoh yang terbaik kepada isteri dan anak-anak. Hal ini kerana
pepatah arab ada mengatakan bahawa, memberi nasihat melalui tindakan lebih
berkesan daripada nasihat menggunakan lisan. Jika kita menginginkan orang
melakukan sesuatu yang kita arahkan, kita perlulah terlebih dahulu memulakan
sebelum orang lain. Selain itu, di dalam kitab Al-Quran juga menyebut, Allah
swt berfirman, mafhumnya “wahai orang yang beriman, kenapa engkau mengatakan
sesuatu yang tidak engkau kerjakan”, surah As-Sof, ayat 2. Dalam ayat ini jelas
menunjukkan larangan kita menyuruh orang melakukan sesuatu kebaikan sedang kita
mengabaikan diri kita sendiri. Kita perlu sama-sama bermuhasabah supaya
tindakan kita tidak tersasar dari jalan yang sepatutnya. Jadi, sebagai lelaki
yang bergelar suami dan bapa, kita hendaklah memahami peranan kita dan
bertindak sewajarnya kerana kita adalah antara pemangkin keluarga yang sakinah
yang akhirnya akan membuahkan sebuah masyarakat yang madani.
Selain
bapa, orang yang tidak kurang pentingnya dalam institusi kekeluargaan ialah
isteri atau ibu. Hal ini kerana wanita yang bergelar ibu dan isteri ini adalah
tulang belakang keluarga. Wanita yang bergelar isteri ini adalah orang yang sangat
berpengaruh dalam sesebuah keluarga. Para isteri merupakan penasihat yang
paling utama kepada para suami dalam menguruskan perjalanan sesebuah keluarga. Isteri
adalah mata air kehidupan sesebuah keluarga. Kehadirannya dapat menjadi sumber
penenang yang paling baik buat suami dan anak-anak. Tidak hairanlah Allah swt
menjanjikan ganjaran yang besar iaitu balasan syurga buat para isteri yang
solehah dan berbakti kepada suami. Hal ini kerana pengorbanan seorang isteri
kepada keluarga terlalu besar. Isteri yang menyediakan keperluan suami dan
anak-anak, isteri memasak dan mencuci pakaian, isteri yang mengandungkan,
melahirkan dan menyusukan anak-anak. Rasulullah saw amat menyanjungi para ibu,
diriwayatkan ketika salah seorang sahabat bertanya kepada baginda tentang
kepada siapakah dia perlu berbakti, lalu Nabi saw menjawab, ibumu, ditanya lagi
soalan yang sama, dan Nabi saw masih memberi jawapan yang sama sehingga tiga
kali berturut-turut dan pada kali yang keempat barulah baginda menyebut,
ayahmu. Hal ini menunjukkan kepada kita betapa mulianya wanita yang bergelar
ibu dan isteri ini sehinggakan agama mengangkat darjat mereka ke tempat yang
sangat mulia. Oleh yang demikian, sebagai isteri, kita hendaklah menjadi
penasihat yang baik untuk suami dan pembimbing yang bermanfaat untuk anak-anak.
Kita perlu memanfaatkan peluang ini dengan sebaik-baiknya. Hal ini kerana kita
memegang amanah yang sangat besar dalam menentukan hala tuju ummah. Sekiranya kita
berperanan dengan baik, hasrat untuk melahirkan generasi yang berpekerti mulia
akan dapat direalisasikan. Anak-anak yang didik dengan baik akan mudah untuk
dilorongkan ke arah jalan kebaikan dan kebajikan. Dengan adanya anak-anak yang
baik, hasil didikan ibu bapa yang baik, maka masyarakat yang bertamadun dapat
dihasilkan dalam dunia yang sarat dengan masalah pada hari ini.
Seterusnya,
sebagai anak-anak, amat wajar kepada kita untuk mentaati ibu dan ayah kita
selari dengan ajaran Islam dan anjuran Nabi saw. Anak-anak yang soleh juga
adalah permata yang bernilai buat ibu dan ayah. Ibu bapa akan merasa tenang dan
selamat dengan adanya anak-anak yang baik. Sebagai anak, kita hendaklah
bersungguh-sungguh mencari jalan supaya dapat membahagiakan ibu dan ayah kita. Kita
perlu mengenang kembali jasa kedua-dua ibu ayah membesarkan kita. Hal ini
supaya kita sedar bahawa kita dilahirkan ke dunia dengan tujuan yang jelas
untuk memakmurkan muka bumi Allah swt. Sebaik-baik tempat untuk seseorang anak
berbakti ialah kepada kedua-dua ibu dan bapanya. Di samping menolong ibu dan
bapa dalam pekerjaan harian mereka, kita juga perlu mendoakan kebaikan buat ibu
dan bapa yang telah banyak berjasa untuk kehidupan kita. Kita perlu
merealisasikan hasrat ibu dan bapa kita untuk melihat kita menjadi seorang yang
berguna kepada agama, masyarakat dan negara kita.
Kesimpulannya,
apa yang dapat saya katakan di sini bahawa sesebuah masyarakat yang betamdun
asasnya ialah keluarga yang harmoni. Kepentingan institusi kekeluargaan tidak
dapat dinafikan dan merupakan penyumbang terbesar kepada masyarakat yang
gemilang. Dengan itu, bersama-samalah kita berganding bahu dan bantu-membantu
dalam mewujudkan keluarga yang sakinah yang akhirnya akan membuahkan masyarakat
yang berakhlak dan disanjung tinggi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan