Selamat Datang

Jangan kita letih melakukan kebaikan kerana letih akan hilang sedang kabaikan dicatat berterusan, Ingat, jangan kita seronok melakukan dosa dan maksiat kerana seronok akan hilang, sedang dosa dicatat berterusan. Saidina Ali Karramallahu wajhu

Isnin, 22 Julai 2013

Ketua dakwa ahli Syiah cecah sejuta SITI NURSYAHIDAH ABU BAKAR 22 Julai 2013

SHAH ALAM – Ketua Kumpulan Syiah Malaysia, Mohd Kamil Zuhairi Abd Aziz mendakwa jumlah pengikut fahaman itu kini dianggarkan mencecah antara 300,000 dan sejuta orang.

Beliau bagaimanapun tidak dapat memberi anggaran tepat kerana tidak mempunyai data mengenainya.

“Jumlah yang tepat kita tidak ada. Kita hanya mengambil kira jumlah itu berdasarkan pelbagai pandangan dan laporan di media.

“Ada laporan mengatakan 300,000 orang. Paling ramai pernah dilaporkan mengenai jumlah pengikut Syiah di Malaysia ialah sejuta orang,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas jumlah sebenar pengikut ajaran Syiah di Malaysia.

Diminta mengulas mengenai cadangan mewartakan fatwa anti-Syiah di negara ini, Mohd Kamilzuhairi berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada kerajaan.

“Saya tidak mahu komen panjang. Terserah kepada kepada menteri terlibat untuk buat keputusan mengenai Syiah.

“Cuma apa yang boleh saya kata, sesuatu perkara yang salah lambat laun pasti akan musnah. Begitu juga sebaliknya,” katanya.

Media baru-baru ini melaporkan Kerajaan Kedah bercadang mewartakan fatwa anti Syiah selepas dikuatkuasakan sepenuhnya di peringkat kebangsaan sebelum ini.

Menteri Besarnya, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, fatwa anti-Syiah yang bakal digazetkan di Kedah akan dikenakan terhadap mereka yang cuba mengembangkan fahaman tersebut di negeri itu.

Cadangan tersebut turut disambut baik beberapa mufti yang menyifatkan fatwa anti-Syiah perlu diwartakan segera.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad berkata, ini berikutan ajaran itu didapati sudah mula merebak dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu, Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abdul Wahid berkata, Selangor sudah lama mewartakan fatwa anti-Syiah dan berharap dapat dilaksanakan di negeri lain.

Anggota kumpulan Syiah ini pernah ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada Disember 2011 kerana didakwa menyebarkan ajaran Syiah.

Dalam serbuan tersebut, seramai 200 pengikut terdiri daripada lelaki dan perempuan termasuk kanak-kanak sedang khusyuk berselawat dan mendengar khutbah daripada seorang lelaki warga Iran.

Manakala pada 26 Ogos 2011, Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) merampas kira-kira 200 naskhah buku yang mengandungi dua tajuk berlainan berkaitan fahaman Syiah dan mengenai pengaruh ajaran itu, dalam satu serbuan di Masjid Paya Redan, Melaka.

Segera bendung Syiah, jangan biar merebak WARTAWAN SINAR HARIAN 22 Julai 2013

PADANG TERAP - Beberapa pemimpin agama di Padang Terap menyokong tindakan Menteri Besar Kedah yang mahu mewartakan fatwa anti Syiah di negeri ini kerana ia mampu mencegah penularan fahaman yang semakin membimbangkan ini.
Imam Masjid Muadzam Shah Kuala Nerang, Syed Hamzah Syed Omar, 71, berkata, fahaman itu perlu dibendung kerajaan negeri agar ia tidak merebak ke seluruh pelosok Kedah khususnya di daerah Padang Terap.
“Adalah jelas pegangan fahaman Syiah ini sudah terseleweng daripada ajaran Islam yang sebenarnya dan yang menyedihkan ialah ia boleh membatalkan akidah seseorang itu.
Jika masalah ini tidak dibendung secepat m ungkin sudah pasti negara kita akan mengalami nasib yang serupa seperti di Pakistan, Syria, Iraq yang menyebabkan beribu-ribu mati kerana masalah fahaman ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Imam-iman Daerah Padang Terap, Abdul Hamid Awang, 63, berpendapat, sudah sampai masanya fatwa anti-Syiah diwartakan kerana selain bertentangan akidah, ia juga bertentangan dengan keputusan muzakarah khas Jawatankuasa Majlis  Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia iaitu menetapkan bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Katanya, selepas mewartakan fatwa anti-Syiah, kerajaan negeri perlu proaktif menjelaskan kepada masyarakat tentang bahayanya Syiah dalam masyarakat hari ini.

“Kini benih-benih Syiah sudah ada di seluruh negeri ini dan kita bimbang jika kerajaan lambat bertindak ia akan berkembang dan memberi ancaman kepada politik dan tanah air pada masa akan  datang,” katanya.

Menurut bilal Masjid Bukit Tembaga di sini, Abdul Kadir Abdul Rahman, 50, langkah kerajaan mewartakan fatwa anti-Syiah itu adalah baik tetapi diharap ia tidak akan senyap begitu sahaja selepas ini.

Selepas diwartakan kelak, Majlis Agama Islam Kedah (Maik) perlu bersungguh-sungguh menangani masalah ini dan tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak.

Katanya, jika kerajaan negeri masih berlembut kepada golongan fahaman ini, ia akan merebak begitu cepat khususnya kepada golongan muda yang dahagakan ilmu agama pada hari ini.

"Banyak fahaman Syiah bertentangan Sunnah Wal Jamaah dan kita bimbang jika tidak dibendung, maka akan berlakulah pula fahaman bercelaru kepada generasi akan datang. Sudah pasti keadaan politik negeri ini juga terancam,” katanya.