Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Keladi yang dalam perjalanan untuk menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kampung Permatang Langsat, di Kepala Batas awal pagi semalam.
  
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam/Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, ASP Suhaimi Mohd Noor berkata mangsa Muhamad Farhan Mohd Sidek, 15, yang berasal dari Kampung Permatang Durian, di sini meninggal dunia di tempat kejadian pada kira-kira 6.40 pagi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
  
"Mangsa yang menunggang motosikal milik bapanya dalam perjalanan untuk mengambil rakan baiknya yang tinggal di Kampung Permatang Langsat iaitu tidak jauh dari tempat kemalangan sebelum mereka ke sekolah.
  
"Bagaimanpun ketika mangsa sampai di simpang Kampung Permatang Langsat, sebuah Perodua Viva tiba-tiba keluar dari simpang. Muhamad Farhan yang gagal mengelak merempuh kenderaan berkenaan," kata Suhaimi.
  
Beliau berkata akibat rempuhan itu mangsa terpelanting beberapa meter dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.
  
Suhaimi berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat.

Bernama